Menjadi Insan Yang
Baik
# Memulakan memberi
salam apabila bertemu.
Motivasi: Memberi salam terlebih dahulu tanda merendah diri
seseorang kepada Allah. Allah sangat cinta pada hamba yang tawaduk.
# Memanggil nama
sahabat dengan nama yang disukainya sama ada di depan atau di belakangnya.
Motivasi: Kita juga
suka orang menyebut nama yang kita senangi sama ada di depan maupun di belakang
kita. Jadi lakukan perkara yang sama pada kawan kita.
# Menumpukan perhatian
tatkala sahabat bercakap serta elakkan memotong cakapnya.
Motivasi: Allah suka
kepada seseorang yang fokus dan mengambil berat terhadap orang lain.
# Menyampaikan pujian
orang terhadap sahabat. Jika kita sembunyikan bererti kita sebenarnya menyimpan
rasa dendam dan iri hati.
Motivasi: Allah suka
kepada seseorang yang ikhlas dalam persahabatan. Menyampaikan pujian di sini
bertujuan menggalakkan sahabat kita konsisten menunaikan perkara yang baik.
Bukan bertujuan membodek.
# Tidak menceritakan
kejian dan celaan orang terhadap sahabat. Ini untuk mengelakkan rasa kurang
senang dan tercetusnya krisis.
Motivasi: Allah suka
seseorang yang mengelakkan perkara yang menggusarkan hati sahabatnya.
# Memberi pertolongan
kepada sahabat yang memerlukannya tanpa menunggu dia memintanya. Kalau dia
memohon bantuan, wajib kita bantu setakat termampu.
Motivasi: Allah menolong seseorang selagimana dia menolong
sesama insan dalam kebaikan.
# Mengutamakan
keperluan dan kepentingan sahabat dari kepentingan diri.
Motivasi: Allah
mengasihi seseorang yang mampu mendahulukan keperluan orang lain mengatasi
dirinya sendiri. Allah sebaik-baik pemberi rezeki. Apa yang kita berikan akan
diganti dengan yang lebih baik.
# Memandang dan
membuat anggapan positif terhadap sikap sahabat. Elakkan prejudis pada mereka.
Motivasi: Secara tidak
disedari, orang yang suka bersangka buruk pada orang lain telah menghukum di
atas perkara yang tidak diketahui dengan jelas. Allah membantu seseorang yang
suka bersangka baik dengan orang lain.
# Memberi nasihat
terhadap kesalahan dan kelalaiannya. Jika melihat kawan kita mulai lalai atau
melakukan kesalahan, tegur dan beri nasihat secara rahsia.
Motivasi: Umpama kita
tersalah jalan mahu menuju ke suatu tempat. Kemudian rakan kita menegur kita.
Pastinya kita suka dan berterima kasih kepadanya. Kita juga suka kalau
kesalahan kita tidak diperbesarkan dan ditegur tanpa diketahui orang lain. Ia
menunjukkan maruah kita dihargai.
# Sentiasa memaafkan
kesalahan sahabat kita. Bila melihat dia lakukan kesalahan, tidak ditempelak
seperti kata pepatah, ‘memulangkan paku buah keras’.
Motivasi: ‘Memulangkan paku buah keras’ bererti kita
mendendaminya. Apakah kita ikhlas bersahabat dengannya selama ini? Allah
bersama orang yang ikhlas.
# Sekiranya dia minta
maaf, terima saja apa alasan yang diberikan tidak kira benar atau tidak.
Motivasi: Serahkan
sahaja perkara yang tidak diketahui kepada Allah. Lagi pula, Allah tidak akan
bertanya pada kita apakah kawan kita berbohong atau tidak. Yang pasti, Allah
akan tanya kita apakah kita telah memaafkan sahabat yang telah meminta maaf.
# Tidak mengulang
tayang kesalahan atau keburukannya yang pernah dilakukan pada kita.
Motivasi: Apakah kita
suka kalau sahabat kita mengungkit kesalahan kita yang lalu sedangkan kita
sudah menginsafinya.
# Elakkan berkelahi
pada perkara remeh temeh. Apatah lagi mengeluarkan kata-kata kesat.
Motivasi: Perkelahian
pertama di dunia ialah antara dua anak Adam iaitu Qabil dan Habil. Ia
dicetuskan oleh Iblis yang memusuhi manusia hingga kiamat. Justeru ingatlah,
apabila kita berbalah tanpa didasari kebenaran, sebenarnya kita menurut
jejak-jejak Iblis.
# Menyembunyikan
segala rahsia sahabat dan tidak menceritakan kepada orang lain walau kepada
pasangan (suami/isteri) kita sendiri.
Motivasi: Allah
menyembunyikan rahsia kita selagi kita menjaga rahsia sesama kita.
# Tidak mendesak atau
memaksanya sehingga dia rasa terbeban dengan permintaan kita itu.
Motivasi: Apakah kita
suka didesak atau dipaksa melakukan atau menunaikan sesuatu?
# Menjiwai apa yang
dirasakannya sama ada senang atau susah. Gembira dengan perkara yang
menggembirakannya dan bersedih dengan sesuatu yang menyedihkannya.
Motivasi: Apakah yang
kita rasa bila kita sedang gembira, sahabat kita mengerut-ngerutkan mukanya?
Apakah yang kita rasa bila kita bersedih, kawan kita bergelak ketawa di hadapan
kita?
# Memberi hadiah
sempena hari lahir sahabat atau kerana apa sahaja yang bersesuaian.
Motivasi: Allah cinta
kepada orang yang bermurah hati.
# Sentiasa memupuk
kasih sayang dengannya hingga akhir hayat.
Motivasi: Allah cinta
kepada orang yang saling berkasih sayang keranaNya. Justeru Allah menegaskan
bahawa salah satu dari dua doa yang tidak dimakbulkan ialah doa supaya
diputuskan silaturrahim. Memelihara silaturrahim serta mengekalkannya juga
dapat memanjangkan umur.
# Mengucapkan terima
kasih di atas kebaikan sahabat terhadap kita.
Motivasi: Allah berjanji kalau kita sentiasa berterima kasih
dengan nikmat yang diperolehi sama ada pada manusia atau kepadaNya, maka Dia
akan tambahkan lagi nikmat tersebut. Ini janji Allah. Nescaya ditepati.
# Sentiasa
mendoakannya. Doakan selalu sahabat-sahabat kita ketika dia masih hidup atau
setelah dia meninggal dunia.
Motivasi: Para
malaikat akan selalu mendoakan kita selagimana kita mendoakan kebaikan buat
sahabat-sahabat kita.
# Menziarahi sahabat
tatkala dia sakit atau ditimpa bencana.
Motivasi: Allah suka
kepada hamba yang mengambil berat hal orang lain.
# Mengiringi sahabat
ke pintu ketika dia hendak pulang setelah menziarahi kita.
Motivasi: Sikap ini
menandakan kita menghargai kunjungan sahabat. Sahabat kita pula merasa dirinya
dihormati dan dihargai. Kesannya ia mampu menambahkan kasih sayang sedia
ada.
Lakukan semua perkara di atas kerana cintakan Allah. Apa yang
telah kita amalkan, sama-samalah kita berusaha untuk konsisten dengannya. Mana
yang kurang, sama-sama kita perbaikinya. Insya Allah, persahabatan kita
berkekalan dengan limpahan barakah dariNya.
0 ulasan:
Catat Ulasan