Ekin Azhari Pengedar Shaklee Kota Bharu

SUAMI PERLU BIJAK MENGELAK DAN MENANGANI KONFLIK MERTUA


SUAMI PERLU BIJAK MENGELAK DAN MENANGANI KONFLIK MERTUA

Apabila kami sambung semula tips munakahat, maka bersusun ajuan dari pembaca. Antara rungutan utama ialah konflik dengan mertua. Ada pelbagai masalah yang diutarakan. Ada konflik yang... berpunca dari pihak suami, ada sebab isteri, bahkan ada yang berpunca dari mertua kedua-dua belah pihak. Kami tidak mampu menjawab setiap satu kecuali merangkumkannya dalam satu rencana khas.

Sebenarnya konflik ini adalah masalah besar dalam munakahat namun sering dipandang remeh oleh pasangan suami isteri dan mertua. Akhirnya masing-masing tidak mempersiapkan diri untuk berusaha mengelak dan belajar menanganinya dengan bijaksana. Ada baiknya ulang baca beberapa rencana munakahat sebelum ini. Antaranya,

http://prihatin.net.my/v3/2013/10/23/tips-munakahat-konflik-mertua-ipar-duai/

SYURGA ISTERI BAWAH TAPAK KAKI SUAMI

Kita semua tahu LELAKI adalah pemimpin (QOWWAMUN) wanita berdasarkan kelebihan yang telah Allah berikan (QS:4.34). Tidak kira samada lelaki sebagai suami, atau ayah mertua, maka ia bertanggungjawab sepenuhnya untuk melaksanakan kewajiban mengatur keluarga. Jika lelaki dalam rumahtangga itu berilmu, bijak, adil dan berhemah, maka aman sejahteralah rumahtangga. Jika suami atau bapa mertua tidak qowwam, lembik dan jahil, itu menjadikan rumahtangga huruhara.

Allah tetapkan bahawa “kesejahteraan atau bencana yang menimpa kita adalah hasil perbuatan tangan tangan kita sendiri”.

Isteri yang patuh dengan arahan dan ketetapan suami yang berfungsi dengan baik pasti Allah tetapkan syurga. Fungsi lelaki itulah merupakan jejak tapak yang harus dipatuhi isteri. Jika rumahtangga yang dibina huruhara adalah kerana kita tidak mematuhi arahan Allah agar lelaki memainkan peranannya dengan bijaksana dan isteri pula patuh padanya.

Nabi bersabda: “Tidak dibenarkan manusia sujud kepada manusia, dan kalau dibenarkan, aku akan memerintahkan wanita sujud kepada suaminya karena besarnya jasa (hak) suami terhadap isterinya. (HR. Ahmad)

Suami bertanggungjawab sepenuhnya terhadap dosa anak dan isteri jika ia berlaku akibat dari kelalaian suami dan ayah dalam memainkan peranannya. Kelalaian ini meletakkan lelaki sebagai dayus. Nabi SAW tetapkan lelaki dayus yang tidak perduli atau tidak cemburu berlakunya maksiat terhadap anak dan isteri tidak akan mencium bau syurga. Mana tidaknya, ada sahaja fitnah dan bencana yang menimpa anak isteri yang tidak terkawal ini.

Isteri dan anak pula tidak dipertanggungjawabkan dengan dosa-dosa suami atau ayahnya. Dalam hal ini wanita tidak pernah pula mengatakan Allah itu tidak adil.

SYURGA SUAMI DI BAWAH TAPAK KAKI IBUNYA

Lelaki telah Allah berikan tanggung jawab yang lebih, samada terhadap anak isteri, maupun terhadap ibu. Tanggungjawab sebagai wali turut terpikul oleh lelaki terhadap adik beradik perempuannya yang tidak bersuami. Kerana itulah Allah memberi kelebihan jasad, akal, emosi, bahkan kelebihan hak sebagai saksi dan pembahagian harta fara’id pada lelaki.

Kita semua tahu hakikat ini dan jangan sekali kali mencabar fitrah yang telah ditetapkan Allah. Jangan sekali kali menuntut kesamarataan jantina seperti yang sedang terjadi sekarang ini tanpa usul periksa. Tuntutan itu hanya akan menyulitkan susunatur kehidupan kita.

Amat penting bahawa Isteri harus redha dengan ketetapan ini dan ikut sama membantu membahagiakan suami melalui redha ibu mertuanya. Jangan anjurkan kederhakaan suami pada ibunya. Suami yang beriman akan merasa resah dan berdosa jika tidak mendapat redha ibunya. Tambahan pula jika bapanya sudah tiada. Bila suaminya tenang sejahtera, beliau akan mampu memimpin isteri ke syurga. Mematuhi (langkah) suami yang berada di jalan syurga inilah yang akan menggiring isteri ke syurga juga.

“Barangsiapa yang melakukan demikian (solat, berpuasa, mengeluarkan zakat dan menunaikan Haji), dia akan bersama-sama para Nabi (Nabiyyin), para Siddiqin, para Syuhadak dan para Solehein kecuali anak yang derhaka kepada kedua ibu bapanya.” (HR Ahmad dan Thabrani dari Amru bin Murrah al-Juhani)

SUAMI MELEBIHKAN ISTERI DARI IBUNYA

Ini kisah Si Tanggang yang semakin menjadi jadi. Ramai anak lelaki yang lupa daratan, terutama yang mendapat isteri yang agak moden, kaya dan berpelajaran, lalu menjadi sombong serta memandang rendah terhadap keluarga suaminya. Lebih malang lagi jika isteri kesayangan dipilih dari kalangan bangsa lain. Ini adalah satu kederhakaan yang berat, Nauzubillah.

Kami ingin memetik kisah yang berlaku di zaman Rasulullah saw di mana seorang sahabat yang bernama Alqamah yang sukar mengucap ketika nazak biarpun diajar oleh baginda sendiri. Selepas berumah tangga, beliau kurang memberi perhatian kepada ibunya kerana selalu melebihkan isteri. Keadaan itu menyebabkan ibunya berkecil hati. Dipendekkan cerita, Alqamah hanya boleh mengucap selepas diampunkan ibunya (setelah Nabi ancam untuk membakar saja jasadnya jika tidak diampunkan). Kemudian baginda bersabda,

“Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak akan diterima daripadanya taubat dan tebusannya.” (Hadis riwayat Abu al-Laith)

"Dan berbuat baiklah (ihsân) kepada dua orang ibu-bapak, karib-kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, teman sejawat, ibnu sabil dan hamba sahayamu…" (QS: An-Nisa’4:36).

SUAMI MENJAUHKAN ISTERI DARI IBU BAPANYA

Ini juga satu penyakit akhlak yang paling besar bagi seorang suami. Allah jadikan fitrah anak itu akan terikat dengan ibunya. Memisahkan mereka dengan paksa adalah tidak wajar. Kebanyakkan kes yang dirujuk kepada kami dalam isu ini berakhir dengan penceraian. Ada yang bercerai setelah isteri berusia 50an dan anak-anak semuanya sudah berkahwin pun.

Kebahagiaan isteri merupakan kebahagiaan suami juga sebab isteri adalah pakaian suami. Demikian juga sebaliknya sebagaimana dijelaskan Allah dalam firman-Nya.

"Mereka adalah pakaian bagimu, dan kamupun adalah pakaian bagi mereka" [al Baqarah 2:187]

Terlalu banyak aduan isteri yang suaminya (ada yang bergelar ustaz pun) terlalu jumud. Asyik membacakan firman dan hadis agar isteri hanya patuh kepadanya sahaja. Hubungan dengan ibu bapa isteri dikekang. Hujung-hujungnya suami berkahwin lain. Ada kes seorang ustaz pengusaha tahfiz yang menceraikan isteri tuanya yang begitu taat untuk mengahwini ustazah muda belasan tahun yang mengajar di Ma’hadnya. Segala harta termasuk aset mahad juga dipindahkan ke nama isteri muda.

Kami tidak mahu menghurai tepat kes kes tersebut kerana ia melibatkan peribadi dan aib seseorang. Setiap kes ada asbab yang berbeza yang perlu diteliti di mana hak dan batilnya. Tentulah poligami tidak mampu kita larang, namun mengambil peluang dari ketaatan isteri sehingga membawa penceraian dan pengusiran semata-mata kerana ingin berpoligami adalah satu kezaliman. Kerana itu kebijaksanaan dan keadilan suami sangat dituntut.

Bagi yang bertanya, ingin kami kongsikan bagaimana kami mengatasi masalah ini di RPWP. Walaupun Islam menetapkan isteri wajib patuh hanya kepada suami, namun kami menetapkan suami agar tidak sekali-kali menghalang atau menjauhkan isteri dari ibu bapanya, bahkan menggalakkan mereka lebih merapatkan perhubungan.

Kami para bapa sukarelawan di RPWP bekerja siang dan malam mengabdi diri. Tidurpun sekitar 4 jam sahaja sehari. Pastinya masa untuk membawa anak isteri sendiri berziarah ibu bapa sudah berkurangan. Situasi ini mendidik hati-hati kami agar sentiasa merasa bersalah terhadap anak isteri dan para mertua kami.

Satu-satunya jalan yang ada ialah untuk meminta anak isteri yang juga seharian sibuk ikut mengurus anak-anak di RPWP agar mencari ruang masa, mewakili kami untuk bertanya khabar, menghubungi ibu bapa sendiri dan mertua. Kami galakkan isteri menghubungi ibu bapa dan mertua mereka selalu. Sebolehnya setiap kali bangun tidur, sebelum makan dan sebelum tidur. Seolah olah ibubapa mereka ada di rumah sebelah atau di tingkat bawah sahaja.

Amalan ini akan mencerminkan akhlak dan budibicara suami juga. Ibubapa isteri (mertua suami) insyaAllah akan semakin rapat dan menghormati suami. Ini membuatkan segalanya akan jadi lebih mudah dan hidup jadi sejahtera.

Biasanya semakin disuruh, semakin isteri malas nak call. Jika dilarang itulah yang menggalakkan dia curi-curi call. Malah ada ibu bapa isteri pula akan kata, “tak perlulah kerap-kerap call, kasihan suami kamu nak bayar bil”. Demikian juga bab kawin lain, lagi dihalang lagi suami akan menggatal. Cuba suruh saja dia kawin lain. Biasanya tak mau pun... begitulah peranan ‘Reversed Psychology’.

BANTUAN KEWANGAN DAN PERHATIAN KEPADA MERTUA

Ramai isteri yang merungut kerana dihalang dari membantu ibubapa dan keluarga termasuk penjadualan ziarah. Dalam hal ini kami mengamalkan sikap adil, meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Apabila perlu menziarahi orang tua, lakukanlah dengan ikhlas dan adil.

Rasululah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya ada seorang lelaki yang mahu menziarahi saudaranya di desa lain. Maka Allah SWT mengutus malaikat untuk mengujinya. Ketika malaikat berjumpa dengannya, malaikat itu bertanya: Hendak ke manakah kamu? Dia menjawab: Aku akan menziarahi saudaraku.yang berada di desa itu. Malaikat bertanya lagi: Apakah engkau menziarahinya kerana berasa berhutang budi kepadanya? Dia menjawab: Sesungguhnya aku tidak menziarahinya kecuali kerana cinta kepadanya semata-mata kerana Allah SWT. Malaikat berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu. Dan sesungguhnya Allah SWT telah mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Harus diingat juga bahawa tempat terbaik seorang wanita adalah di rumah. Jika anda bekerja ia adalah sepenuhnya atas izin suami yang menanggung segala dosa anda ketika keluar bekerja. Oleh itu segala pendapatan adalah menjadi milik bersama. Islam juga menetapkan isteri sebagai pengurus rumahtangga suaminya, termasuk urusan kewangan. Walaupun harta milik sendiri, tidak wajar isteri memberi tanpa pengetahuan suami.

“Tidak dibenarkan seorang wanita memberikan kepada orang lain dari harta suaminya kecuali dengan izin suaminya”. (HR. Ahmad)

Amalan yang murni ialah memainkan psikologi. Bersikap adillah dalam menghulur bantuan. Memberi biarlah adil dengan mengikut keperluan ibubapa dan kemampuan kita. Sebaiknya untuk keluarga isteri, biar suami yang menghulurkannya kepada ibu/bapa isteri. Untuk keluarga suami, biar isteri sendiri yang menghulurkannya kepada ibu/bapa suami. Ini akan menampakkan ketelusan dan keredhaan kedua belah pihak (suami mahupun isteri) dalam urusan pemberian itu.

SELESAIKAN MASALAH DENGAN SYURO, ELAKKAN WAS WAS

Statistik menunjukkan antara punca penceraian adalah habit menceritakan keburukan pasangan kepada pihak ketiga. Oleh itu dalam keizinan menghubungi keluarga, para isteri adalah dilarang keras menceritakan hal ehwal rumahtangga kepada ibubapanya dan juga rakan-rakan atau syuro jemaah tanpa izin suami.

Telah diriwayat dari Asmaa' bt Yazid, bahawa beliau bersama Nabi, dan beberapa lelaki dan wanita duduk bersamanya, Nabi bertanya :

"Adakah mana-mana lelaki berkata mengenai apa yang dia lakukan bersama isterinya? Adakah mana-mana isteri mengkhabarkan apa dia lakukan bersama suaminya? Mereka mendiamkan diri dan tidak menjawab. Berkata (Asmaa'): YA, Demi Allah, Ya Rasulullah, kaum wanita melakukan itu, dan kaum lelaki melakukan itu. Baginda menjawab : Jangan lakukan ! Ia bagaikan Syaitan Jantan berjumpa Syaitan Betina di atas jalan dan mengadakan hubungan kelamin dan manusia melihatnya" [Hadith Riwayat Abu Daud].

Suami harus jadi pelindung kepada isteri dan perlu bijaksana dalam menyelesaikan masalah. Hadis berikut ini amat jelas pelajarannya,

Suatu hari terjadi perselisihan di antara Nabi SAW dengan Aisyah RA sehingga Abu Bakar (bapa mertua NAbi SAW) turut campur tangan mahu memulihkannya. Kemudian Rasulullah SAW bersabda kepada Aisyah: Kamu yang bercakap atau aku dahulu? Kemudian Aisyah berkata: Kamu yang bercakap dan 'jangan kamu bercakap kecuali yang benar' ! Mendengar jawapan itu, Abu Bakar lalu menampar muka Aisyah (sehingga mulutnya berdarah) kemudian berkata kepada Aisyah: Apakah Rasulullah SAW akan bercakap selain kebenaran, wahai musuh dirinya sendiri? Kemudian Aisyah berlindung di belakang Rasulullah. Kemudian Nabi SAW bersabda: Kami tidak memanggilmu untuk melakukan ini atau mengharapkanmu melakukan seperti ini.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Allah galakkan kita membalas keburukan dengan kebaikan. Apabila kita tidak dilayan dengan baik sedangkan kita telah mencuba yang terbaik, maka janganlah putus asa dengan menghentikan kebaikan yang kita lakukan. Rasulullah SAW pernah ditanya sahabat,

“Wahai Rasulullah, saya memiliki hubungan kekerabatan, saya selalu berusaha menyambungkannya namun mereka selalu memutuskannya. Saya selalu berusaha berbuat baik kepada mereka, mereka pula membalas dengan berbuat jahat kepada saya. Saya sentiasa santun kepada mereka, tetapi mereka tidak mempedulikan saya. Nabi SAW bersabda: Seandainya benar apa yang kamu ucapkan itu, maka seolah-olah kamu menyuapkan abu panas kepada mereka (mereka berdosa). Allah SWT sentiasa berada di belakangmu, sepanjang mereka melakukan perbuatan itu kepadamu” (Hadis riwayat Muslim)

KESIMPULAN

“Kewajiban taat itu hanyalah dalam perkara-perkara yang ma'ruf". [HR al- Bukhari].

Kita harus berilmu dan bijak dalam memenuhi tuntutan ketaatan kepada manusia. Syurga akan hanya tercipta jika langkah kaki yang kita patuhi itu menuju ke syurga. Jangan kita patuh membabi buta. Tolaklah dengan berhemah segala arahan yang mungkar, biarpun ia dari ibubapa atau suami sendiri sekalipun. Jangan ikut langkah ibu seperti isteri Nuh a.s. atau langkah bapa kepada Ibrahim a.s.

Islam mewajibkan kita berbuat baik dengan orang tua tidak kira mertua atau ibubapa kandung. Menghina dan menzalimi mertua samalah dengan menghina ibubapa sendiri. Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

”Antara dosa-dosa besar adalah seorang anak yang menghina kedua orang tuanya.” Para sahabat bertanya: Apakah ada orang yang mencela ibu bapanya sendiri? Baginda bersabda: Ya, apabila seseorang menghina ayah orang lain maka sama seperti dia menghina ayahnya sendiri. Dan seseorang yang menghina ibu orang lain sama seperti dia menghina ibunya sendiri.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim).

"Bukan termasuk golongan kami (umat) orang yang tidak merahmati yang lebih kecil dan menghormati yang lebih tua."[HR at-Tirmidzi. Ash Shahihah : 2196]

Sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat menunjukkan kekerabatan dan persahabatan yang sangat akrab antara menantu dengan mertua. Oleh itu, para suami harus menjadikan mertua sebagai sahabat paling rapat dan penuh kasih sayang. Islam menetapkan pertalian syarak sehingga tidak terbatal air sembahyang antara kita dengan mertua.

Hayati dan hargailah pertalian itu. Doa kami untuk kebahagiaan dalam rumahtangga anda semua.

Kudap Munakahat
WARGA PRIHATIN
COPY n PASTE...
Share on Google Plus

About Unknown

Ekin Azhari merupakan ahli Shaklee dan pengedar sekitar Kota Bharu termasuk pengeposan produk ke seluruh Malaysia. Hubungi saya di 017-948 6216.



    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 ulasan:

Catat Ulasan